GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal dirakam melarikan diri selepas melanggar seorang wanita berusia 42 tahun dalam kejadian di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Nibong, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang Isnin itu, mangsa yang difahamkan dalam perjalanan untuk menjemput anaknya dari sekolah cedera di bahagian kepala serta dua giginya dilaporkan patah.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 30 saat, wanita berkenaan pada mulanya dilihat menyeberangi jalan di lintasan pejalan kaki di mana pada ketika itu lampu isyarat sedang berwarna merah.
Namun secara tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang secara laju terus merempuh mangsa, mengakibatkan wanita itu tercampak lebih kurang satu meter ke hadapan dengan wajahnya terseret di jalan raya.
Penunggang motosikal terbabit langsung tidak turun, sebaliknya hanya memandang mangsa yang cedera sebelum meninggalkan tempat kejadian.
Lebih menyedihkan, beberapa pemandu kereta yang menyaksikan kejadian langsung tidak keluar membantu mangsa, membuatkan wanita itu bangun dan berjalan dalam keadaan kesakitan.
Rakaman CCTV itu kemudiannya dimuat naik ke media sosial agar orang ramai dapat membantu mengesan penunggang motosikal terbabit.
Menurut Harian Metro, polis kini sedang memburu penunggang motosikal terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau balai polis berhampiran.
Sumber: Mynewshub