Calon PRU14 Mesti Bebas Daripada Rasuah - SPRM


PADANG BESAR  -  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggalakkan parti-parti politik yang ingin menyertai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) supaya menyerahkan nama-nama calon mereka kepada agensi tersebut untuk disaring.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan bakal-bakal wakil rakyat yang dipilih bebas daripada unsur-unsur salah guna kuasa dan rasuah.

Kata beliau, ini merupakan tanggungjawab parti-parti politik yang harus dilaksanakan kerana rakyat pada masa kini boleh menilai ketelusan mereka.

"SPRM mempunyai pangkalan data nama-nama mereka yang terlibat dalam siasatan salah guna kuasa atau rasuah.

"Kita hendak pastikan calon-calon wakil rakyat benar-benar mempunyai integriti yang tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Kembara Jelajah Antirasuah (Kejar '17) di Kampung Panggas di Kangar semalam.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

-Bernama