HASRAT pasukan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) untuk meneruskan pendakian ke puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 pagi semalam tergendala apabila laluan utama dilanda angin kencang dan salji tebal di Kabardino-Balkaria, Russia.
Menurut Pengarah Program KSP, Ummu Farah Haidar Zulkifli, keputusan itu diambil selepas Timbalan Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) Ahmad Fakhri Abu Samah mengadakan perbincangan dengan pasukan pemandu arah dan penyelamat gunung.
Kata Ummu Farah, angin kencang selaju 55 kilometer (km)per jam, jarak penglihatan terhad serta ribut salji setebal 10 sentimeter (cm) menjejaskan perancangan asal.
Katanya, perancangan asal untuk mendaki ke puncak adalah pada jam 2 pagi semalam ( waktu tempatan) namun ia terpaksa ditangguhkan sehingga cuaca mengizinkan.
"Kami tidak boleh berkompromi mengenai faktor keselamatan pendaki dan keputusan untuk menangguhkan pendakian ke puncak ini dilakukan selepas meneliti semua risiko yang ada.
"Namun, semangat juang semua pendaki masih membara dan kesihatan juga berada di tahap terbaik," katanya.
Sementara itu, mengikut laporan ramalan kaji cuaca tempatan, kawasan pergunungan Elbrus akan dilanda ribut salji setebal 13 cm sehingga 1 September.
Cuaca dijangka kembali pulih menjelang pagi 2 September.
Sumber: MyMetro