KOTA BHARU- Seorang lelaki berusia 20 tahun bertindak nekad mencurahkan air ketum di dalam kereta dinaikinya bagi mengelakkan ditahan polis dalam sekatan jalan raya di Bunut Payong, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 1 pagi semalam, lelaki terbabit bersama teman wanita pada mulanya ditahan dalam satu sekatan jalan raya kerana menaiki kereta Perodua Kancil tanpa nombor pendaftaran.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, hasil pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap kereta terbabit pihak polis menemui air bertakung di bahagian bawah sebelah pemandu.
“Pihak polis juga turut menemui beberapa botol berkapasiti 1.5 liter dan 500 mililiter yang dipercayai untuk menyimpan air ketum.
“Lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengaku melakukan perbuatan itu dan dia bersama teman wanitanya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, dalam kes berasingan, Ops Gempur diketuai Ketua Balai Polis Kota Bharu, Asisten Superintendan Hasbullah Noor bersama 69 anggota turut menahan seorang lelaki lingkungan 30-an kerana memiliki kereta klon.
“Lelaki terbabit mendakwa memperoleh kereta itu pada harga RM4,000 dan hanya digunakan untuk mengangkut kain untuk dijual di pasar Wakaf Che Yeh.
“Dia ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari Wakaf Che Yeh sebelum dibawa ke balai untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, dalam Ops Gempur sempena sambutan Hari Malaysia, bermula 10 malam hingga 4.30 pagi semalam, pihaknya berjaya menahan lapan lelaki dan seorang wanita.
“Lima daripada mereka positif methampethamine, dua membabitkan kes jenayah iaitu memiliki senjata berjadual (kerambit) dan gagal memberi keterangan kereta disyaki klon, manakala lelaki dan perempuan terbabit ditahan disyaki memiliki dadah (air ketum),” katanya.
Sumber: MyMetro