KUALA LUMPUR – Keadaan trafik mulai sesak di beberapa lebuh raya utama di seluruh negara berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang yang bermula hari Khamis.
Tambahan pula, cuti sempena Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha itu turut disambung dengan cuti umum pada Isnin ini yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa majlis penutupan temasya Sukan SEA Ke-29 pada Rabu.
Kesesakan yang dihadapi itu menyebabkan kebanyakan pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke utara dan timur mula memuat naik status masing-masing di laman sosial sejak semalam bagi meluahkan rasa letih dan kepenatan kerana perjalanan mengambil masa lebih lama daripada biasa.
Pemilik akaun Facebook, Mohd. Ramzi turut melakukan Facebook Live bagi menunjukkan keadaan semasa lalu lintas di Tol Gombak menghala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dia turut memuat naik status yang menyatakan kenderaan tidak bergerak di sepanjang laluan berkenaan.
“Dari susur Tol Gombok ke UIAM menghala ke Jalan Lama Gombak pun jem dan tidak bergerak,” coretnya dalam status Facebook kira-kira pukul 4 petang kelmarin.
Seorang lagi pemilik akaun Facebook, Ayana Ariffin bukan sahaja menyatakan jalan sesak malah turut mempersoalkan waktu ketibaannya di kampung halaman.
“Jem teruk dari Gerik ke Kelantan. Hadoi bila mahu sampai ni,” katanya menerusi status di Facebook sejak pukul 11 malam Khamis.
Turut berkongsi masalah kesesakan adalah pemilik akaun Twitter, MAI@umaira_aA yang menyatakan perjalanan basnya mengambil masa lama daripada biasa.
“Bas pukul 11.30 malam dari Shah Alam ke Kuantan, sekarang sudah 7.15 pagi pun tak sampai lagi. Dah macam balik Kelantan aku rasa. Penat woi, jalan jem,” luahnya.
Sumber: Utusan Online