Daim Dipersoal Tak Ambil Tanggungjawab Menteri Kewangan Semasa BNM Rugi Besar


PENGERUSI Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  Tan Sri Mohd Sidek Hassan Sidek mempersoal mengapa Tun Daim Zainuddin tidak mengambil tanggungjawab sebagai seorang menteri ketika Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian besar  berikutan urusniaga tukaran asing.

Mohd Sidek berkata pada masa itu ada peruntukan Ordinan Bank Pusat turut menggunakan perkataan mandatori bahawa seseorang Menteri Kewangan hendaklah diberitahu mengenai urusan perjalanan bank pusat berkenaan.

"Hairan ya, orang ketiga dalam Audit Negara pun tahu mengenai perkara ini dan mengambil langkah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Tetapi dalam kes anda (Daim), kamu tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu lah ya?" kata Mohd Sidek.

Sebelum itu, menjawab soalan Pegawai Pengendali Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas menteri kewangan itu  menjelaskan,  jika beliau mengetahui mengenai urus niaga berkenaan, beliau tidak akan biarkan kerugian itu berlaku.

Daim memberikan keterangan itu  kepada Suruhanjaya Siasatan Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an bahawa, beliau tidak mengetahui bank pusat itu terbabit dalam urus niaga mata wang asing.

 Daim berkata, tidak ada sesiapa di BNM yang memberitahu atau memberikan taklimat kepadanya mengenai urus niaga mata wang asing ketika beliau bertugas sebagai Menteri Kewangan di antara Julai 1984 dan Mac 1991.

Bekas Menteri Kewangan yang menjadi saksi ke-23 siasatan itu berkata, beliau tidak mengetahui atau diberitahu mengenai bentuk urus niaga mata wang asing dilaksanakan BNM pada tahun 1984 hingga 1990.

Katanya, beliau juga tidak diberitahu mengenai kerugian dialami bank pusat itu dalam urus niaga terbabit.

"Sebagai Menteri Kewangan dari Julai 1984 hingga Mac 1991, saya tidak mempunyai sebarang obligasi untuk memantau operasi/perjalanan BNM. BNM bebas dari segi kawalan dan operasi. Menteri Kewangan tidak mempunyai sebarang obligasi ke atas operasi BNM.

"BNM sebahagian daripada kerajaan tapi bebas dari segi operasi. Lembaga Pengarah BNM yang bertanggungjawab ke atas operasi BNM, " kata Daim lagi.

Dalam sesi pendengaran hari ini RCI turut memanggil bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai saksi ke-24 untuk memberikan keterangan berhubung siasatan itu.

Dr Mahathir yang memperkenalkan diri sebagai Pengerusi Parti Harapan turut mendakwa siasatan RCI itu bertujuan untuk menutup mulut beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu 1MDB .

Dalam keterangan itu Dr. Mahathir  menyatakan beliau tidak dimaklumkan mengenai kerugian  RM30 bilion urusniaga tukaran asing oleh BNM pada sekitar 1990an.

Beliau memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa pembabitan Bank Negara Malaysia secara aktif dalam urus niaga mata wang asing pada tahun 1980-an dibuat tanpa pengetahuan beliau. - Kedahnews.com