DAP Susun Strategi Pakatan Tak Serang PAS Untuk "Pancing" Undi Rakyat

ALOR SETAR - Bagi tujuan meraih undi dan sokongan dari rakyat, DAP meminta supaya para pemimpin Pakatan Harapan supaya berhenti dari terus menyerang PAS menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ahli Parlimen (DAP) Serdang, Ong Kian Ming berkata, strategi berkenaan adalah perlu bagi tidak mencetus kemarahan orang ramai terhadap Pakatan Harapan dan akan memberi undi simpati terhadap PAS.

"Sekiranya Pakatan Harapan terlalu obses menyerang PAS, ini pasti akan menolak sokongan pengundi yang bersimpati dengan PAS," katanya memetik laporan sebuah portal pro-pembangkang, hari ini.


Kata pemimpin DAP itu lagi, pemimpin Pakatan Harapan perlu menyusun gerakan "memujuk" pengundi yang simpati pada PAS pada PRU ke-13 yang lalu, sekaligus "mencuri" undi mereka untuk Pakatan Harapan pada pilihan raya nanti.

Boleh dikatakan hampir setiap hari PAS diserang bertubi-tubi oleh pemimpin Pakatan Harapan, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN), dipercayai menjejaskan imej parti itu.

Dikatakan serangan itu juga bermotif untuk membolehkan PPBM dan PAN bertanding di kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi PAS sebelum ini, serta memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini menegaskan bahawa tidak mungkin mereka dapat menerima PAS menyertai Pakatan Harapan bagi mengelak perebutan kerusi yang lebih parah.

Sementara itu, PAN pula dikatakan nekad akan bertanding di seberapa banyak kerusi yang ditandingi PAS pada PRU ke-14 yang dikatakan bakal berlangsung tidak lama lagi.

PAS dalam reaksinya terhadap serangan Pakatan Harapan itu sebelum ini berikrar untuk bertanding di 100 kerusi Parlimen di seluruh negara, manakala PAS Kedah mengumumkan hasratnya untuk bertanding di semua 36 Dun dan 15 kerusi Parlimen di negeri ini. -Kedahnews.com