Tanah Merah - Seorang warga emas tidak pernah bermimpi mampu memperoleh lesen memandu kelas B2 pada usia 79 tahun walaupun memendam impian itu sejak sekian lama.
Keadaan itu membuatkan Mat Kassim Yeh dari Kampung Tengah Bukit Panau, di sini, gembira apabila lulus ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi jajahan Tanah Merah yang berakhir kelmarin.
Mat Kassim berkata, dia sentiasa berhasrat mahu memiliki lesen memandu sejak dulu, tetapi akibat kekangan kewangan dan tahap pendidikan rendah menyebabkan impian itu dilupakan dahulu tambahan pula tiada institut latihan memandu terletak berhampiran.
“Lebih 30 tahun saya menunggang motosikal tanpa lesen memandu walaupun menyedari ia menyalahi undang-undang. Keadaan itu berlaku akibat beberapa masalah menyebabkan hasrat itu dipendam terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup SKSJ, di sini.
Sumber: Metro