Demi Pahala Akhirat, Rela Redah Kesesakan Lalu Lintas


GOMBAK - Tak susah pun sebenarnya kalau nak kejar pahala akhirat, asalkan ikhlas dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam dan contoh paling mudah adalah membaca al-Quran.

Bersempena dengan program interaksi bersama al-Quran selama satu jam, World #QuranHour, ramai yang mengambil inisiatif untuk sama-sama mengumpul pahala.

Bagaimanapun, setiap amalan baik pasti ada dugaannya, seperti hari ini di mana ramai peserta yang terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas semasa dalam perjalanan ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pagi semalam.

Memandangkan Malaysia cuti panjang pada hujung minggu ini iaitu cuti Hari Merdeka, cuti Hari Raya Aidiladha dan cuti peristiwa pada Isnin ini membuatkan ramai mengambil keputusan untuk pulang ke kampung.

Ada di antara mereka yang tersekat di dalam trafik sesak selama sejam sedangkan jarak untuk tiba di UIA kurang daripada lima KM.

Disebabkan masalah tersebut, ramai peserta tiba lewat namun itu semua tidak memudarkan semangat mereka.

Masjid yang pada mulanya kelihatan lengang dan sepi, tiba-tiba dipenuhi dengan orang ramai yang tiba lewat daripada jangkaan asal.  

Seronok sekali melihat para anak-anak, ibu- ibu dan bapa-bapa berinteraksi dengan al-Quran.

Ada juga kelibat ahli keluarga yang membawa anak- anak dalam usaha menerapkan pembacaan  al-Quran pada anak-anak.

Malah, pelajar antarabangsa UIA yang tidak pulang ke kampung halaman turut hadir dan mengambil gambar kenang-kenangan.

Kagum! begitulah yang dirasakan saat melihat momen- momen indah ini.

World #QuranHour menjadi wadah kempen untuk kita umat Islam di seluruh dunia merefleksi diri tentang bagaimana hubungan kita dengan al-Quran dan seterusnya mengatur langkah untuk bertindak mengeluarkan nilai-nilai mulia dari al-Quran.

Program di bawah anjuran Jakim ini dianjurkan oleh UIAM dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan kerjasama Majlis Dakwah Daerah (MDN) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas).

Sumber: Sinar Harian