Dengar Suara Malaysia, Trump Desak PBB Henti Kekejaman Myanmar Ke Atas Rohingya


SUARA Rakyat Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menamatkan  kekejaman tenteri Mynamar terhadap etnik Rohingya diberi perhatian serius oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Trump semalam mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas dan segera bagi menamatkan keganasan ke atas Muslim Rohingya di Myanmar.

Naib Presiden AS, Mike Pence, menyampaikan pendirian Trump itu dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan dan mengisytiharkan krisis itu sebagai satu ancaman kepada dunia.

Beliau mengulangi gesaan AS supaya tentera Myanmar menamatkan keganasan dan menyokong usaha diplomatik untuk penyelesaian jangka panjang buat Rohingya.

"Presiden Trump dan saya juga menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan tegas dan segera untuk menamatkan krisis ini serta memberi harapan dan membantu penduduk Rohingya," katanya kepada 15 anggota majlis.

Diplomat berkata, Majlis Keselamatan mungkin mempertimbang mengguna pakai kenyataan rasmi jika situasi itu tidak berubah.

Sebanyak 15 anggota majlis itu mengadakan pertemuan tertutup sebanyak dua kali sejak krisis bermula 25 Ogos lalu.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan kenyataan tidak rasmi kepada media, mengutuk situasi itu sambil menggesa pihak berkuasa Myanmar menamatkan keganasan.

"Keganasan ini mencetuskan benih kebencian dan huru-hara, yang akan menguasai rantau itu selama bergenerasi serta mengancam keamanan semua kita," kata Pence.

Terdahulu, Malaysia dan AS mendesak Myanmar menghentikan segera keganasan terhadap Rohingya serta membenarkan bantuan sampai kepada mangsa.

Kenyataan bersama itu dibuat dalam pertemuan antara Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Washington DC, minggu lalu.

Trump dan Najib mahu krisis kemanusiaan menyayat hati, yang menjadikan kaum Rohingya sebagai sasaran kekejaman dihentikan segera.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua-duanya, mereka sependapat perlu ada kerjasama kukuh membabitkan masyarakat antarabangsa bagi menangani keganasan terhadap ribuan mangsa, termasuk yang melarikan diri ke Bangladesh.

Pendirian yang diambil oleh Amerika itu menepis tuduhan parti pembangkang, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempelecehkan lawatan rasmi Perdana Menteri walaupun ia atas undangan Trump  dan sempena hubungan 60 tahun  Malaysia- AS . - Kedahnews.com