Doktor, Jurutera Paling Ramai "Liat" Bayar Cukai


SHAH ALAM - Doktor dikesan antara kalangan ahli profesional yang paling ramai tidak membayar cukai pendapatan di negara kita.

Sehingga Ogos tahun ini, jumlah cukai dan penalti yang perlu dibayar oleh kalangan doktor kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ialah sebanyak RM1.106 bilion.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah, jumlah berkenaan adalah hasil operasi pengauditan yang dilancarkan LHDN terhadap 4,610 golongan profesional di seluruh negara baru-baru ini.

"Selain doktor, ahli-ahli profesional lain yang turut menjadi sasaran LHDN ialah peguam, arkitek dan jurutera. Daripada 4,610 orang itu, seramai 3,000 adalah doktor, 182 peguam, 141 arkitek dan 1,287 jurutera," kata Sabin ketika memberitahu Oriental Daily.

Menurut Sabin, jurutera menjadi golongan profesional kedua terbanyak mengelak cukai dan dikenakan penalti, iaitu membabitkan RM38.301 juta diikuti peguam (RM7.39 juta) dan arkitek (RM1.181 juta).

Bagaimanapun, Sabin menjelaskan, tidak kesemua 4,610 ahli profesional yang diaudit itu didapati mengelakkan cukai, sebaliknya ia hanyalah amalan biasa yang dilakukan oleh LHDN.

Mengikut perangkaan LHDN, sebanyak 15 daripada 70 syarikat gergasi yang diaudit lembaga tersebut dikesan mengelak cukai atau melakukan perancangan cukai agresif.

Jumlah cukai dan penalti yang dianggarkan bagi 15 syarikat itu adalah sebanyak RM1.016 bilion.

Sumber: Sinar Online