KEMAMAN - Penyatuan dan gandingan dua bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mampu memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, berkata tiga pemimpin berkenaan berada di pentas sama membuktikan kisah silam sudah dilupakan demi kepentingan UMNO dan BN.
"Ini adalah manifestasi mereka sanggup memaafkan dan melupakan sejarah silam demi perpaduan dalam parti.
"Selagi ketiga-tiga pemimpin ini bersatu, saya yakin Terengganu kekal dipayungi BN dan UMNO," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kemaman di Dewan Berlian di sini, semalam.
Selain Idris dan Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Trengganu, turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Timbalan Ketua UMNO bahagian Kemaman.
Tindakan Ahmad Said memeluk Ahmad Razif selepas selesai berucap, turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri yang menyifatkannya perkembangan baik.
"Ini adalah petanda apa yang sudah, sudahlah. Buka buku baharu, tutup buku lama demi kepentingan UMNO, BN, Melayu dan Islam di Terengganu ini," katanya.
Ahmad sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Idris pada 2013, sebelum Ahmad Razif mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri tahun berikutnya.
Bagaimanapun, pertukaran tampuk kepimpinan itu melalui pelbagai spekulasi dan kontroversi yang mengundang persengketaan.
Ahmad Zahid berkata, adalah penting bagi ahli memberi keutamaan kepada kesepaduan dalam parti jika tidak mahu UMNO dan BN hilang kuasa pada PRU akan datang.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, turut mengingatkan seluruh ahli parti tidak 'menempah maut' dengan melayan 'tukang kipas' yang akan menggagalkan usaha parti memenangi PRU-14.
"UMNO dan BN tidak mahu kehilangan kuasa kerana banyak sejarah yang kita pelajari seperti di Kelantan dan Pulau Pinang.
"Jangan gunakan masalah parti luar BN untuk kita rampas kuasa kerana kemenangan kita bukan hanya disebabkan kelemahan musuh politik, tetapi atas perpaduan kita," katanya.
Sementara itu Ahmad Said ketika berucap pada majlis sama mengajak seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO negeri ini mengetepikan pergeseran bagi bersama membina semula kekuatan dalaman parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.
Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu menegaskan sejarah lalu (krisis kepimpinan Trengganu) itu mesti dilupakan.
Beliau mengibaratkannya sebagai ‘lidah yang tergigit’ yang tetap bersambung dan mahukan semua kembali memperbetulkan sebarang kesilapan untuk bergerak seiring dengan matlamat memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus menerajui negeri ini.
“Kita tiada pilihan, seperti sajak Usman Awang, `di belakang duri di depan api, kita tidak boleh undur lagi’. Saya minta marilah kita berganding bahu, lupakan sejarah lalu. Jangan diungkit lagi,” ujarnya.
Sehubungan itu juga, Ahmad yang menegaskan kesetiaannya terhadap UMNO tidak pernah berganjak, berharap dalam situasi kini segala karenah yang boleh menjejaskan ketenteraman ahli perlu dihentikan.
Katanya, tidak mudah bagi UMNO dan BN menghadapi pilihan raya kali meskipun ada yang mengatakan ruang untuk kemenangan lebih luas dengan kemungkinan besar berlaku pertandingan tiga penjuru ekoran perpecahan dalam pakatan pembangkang.
“Bagi saya, di Terengganu tidak mudah. Sebab orang PAS tak ramai yang lari (menyertai parti lain) kerana mereka berpegang kepada bai’ah. Yang lari hanya kalangan pemimpin,”ujarnya.- Kedahnews.com