Dua Lelaki Bersejata Pistol Larikan Barang Kemas RM60,000 Di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki bersenjatakan pistol mengambil masa tidak sampai lima minit untuk melarikan barang kemas bernilai lebih RM60,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Pasar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira 10.35 pagi itu, dua lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah motosikal dan berhenti berhampiran kedai berkenaan sebelum meluru masuk ke dalam premis.

"Dua lelaki yang lengkap bertopi keledar dan penutup muka itu meluru masuk ke dalam premis dan seorang daripadanya bertindak memecahkan cermin ruang pameran barang kemas menggunakan tukul besi yang dibawanya.

"Seorang lagi suspek mengacukan pistol ke arah pekerja dan mengarahkan mereka diam serta tidak buat apa-apa jika tidak mahu dicederakan," katanya di sini.

Beliau berkata penjenayah terbabit kemudian mengambil barang kemas tersebut sebelum melarikan diri menaiki motosikal  dengan seluruh kejadian berlaku dalam tempoh kurang lima minit.

Nik Ros Azhan berkata semasa kejadian terdapat tiga pekerja termasuk pemilik kedai emas itu dan tiada pelanggan kerana premis berkenaan baru sahaja dibuka.

Katanya polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di kedai dan kawasan kejadian bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kedai emas itu tidak menggunakan khidmat pengawal keselamatan, katanya.

"Usaha mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama