Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan kira-kira 8 pagi hari ini.
Kebakaran yang dipercayai akibat litar pintas itu memusnahkan kedua-dua rumah berstruktur kayu yang dimiliki oleh keluarga yang sama.
Komander Operasi Azlan Talin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.18 pagi sebelum mengerahkan sepasukan 15 anggota dan pegawai serta tiga jentera ke lokasi.
Katanya, setibanya di tempat kejadian, api sudah membakar hampir 90 peratus rumah pertama manakala rumah bertingkat bersebelahan turut terbakar hampir 60 peratus.
"Operasi pemadaman segera dilakukan dan bekalan air yang mencukupi membantu anggota mengawal api kebakaran daripada terus merebak ke dua lagi rumah bersebelahan.
"Api berjaya dikawal pada 8.33 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 9.42 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,"katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan pihak forensik bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca dan jumlah kerugian dalam insiden ini.