Dua ‘Tokan’ Rakyat Malaysia Dicekup Di Singapura


KUALA LUMPUR – Dua lelaki rakyat Malaysia antara tiga ditahan dalam serbuan Pusat Biro Narkotik Singapura (CNB) dalam satu operasi di Woodlands Town Garden’s, Singapura, kelmarin.

Lelaki berusia 21 dan 26 tahun itu dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah berdasarkan penemuan ganja dan heroin dalam kereta seorang rakyat Singapura dipercayai rakan mereka.

Jurucakap CNB berkata, anggotanya membuat pemantauan di tempat letak kereta Woodlands Town Garden untuk mengesan suspek yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, kira-kira jam 11 malam, seorang lelaki Singapura berusia 29 tahun dikesan menaiki kereta tiba di kawasan parkir diikuti lelaki bermotosikal menghampirinya.

“Suspek dilihat menyerahkan satu beg kepada pemandu kereta itu.

“Kereta itu meninggalkan kawasan parkir manakala lelaki bermotosikal mengambil seorang lagi lelaki di lokasi berhampiran.

“Anggota CNB segera menahan kedua-dua suspek warga Malaysia sebelum mereka sempat beredar,” katanya.

Katanya, warga Singapura yang memandu kereta ditahan ketika berhenti di simpang antara Jalan Toa Payoh dan Jalan Serangoon.

“Hasil pemeriksaan, anggota CNB menemui dua kilogram ganja dan 466 gram heroin yang dibungkus dalam pelbagai bentuk bernilai RM160,000 (Singapura Dolar 51,000) yang diletakkan di kerusi penumpang depan. Mereka turut merampas wang RM12,549 (Singapura Dolar 4,000).

“Tiga suspek masih ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah,” katanya.

CNB turut mengingatkan orang ramai bahawa ganja dikategorikan sebagai dadah terkawal Class A mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah. Menggunakan, mengedar, mengimport, mengeksport sebarang jenis dadah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.

Mereka yang didapati bersalah mengedar 500 gram ganja bakal berdepan hukuman mati. 

Sumber: Mynewshub