Dunia Bakal ‘Tandus’ Antibiotik


LONDON - Pertubuhan Kesihatan Se­­dunia (WHO) memberi ama­ran dunia bakal ketandusan antibiotik berikutan pesakit semakin kebal kepada ubat, sekali gus boleh menjejaskan keberkesanan rawatan menggunakan ubat moden.

Lapor Mail Online, WHO mendapati ke­ku­rangan pembuatan ubat baharu dalam menangani bakteria kebal antibiotik merupakan punca utama kepada isu berkenaan.

Kira-kira 700,000 orang di du­­nia maut setiap tahun dise­babkan jangkitan kuman kebal ubat termasuk HIV, malaria dan tuberkulosis.

Jika tiada tindakan se­gera diambil, dianggarkan jangkitan kuman kebal ubat atau antibiotik sedia ada akan membunuh 10 juta orang setahun menjelang 2050.

Menurut laporan WHO, seba­nyak 51 antibiotik sudah dihasilkan secara klinikal tetapi hanya lapan disifatkan sebagai penambahan yang sesuai kepada ubat sedia ada.

Kebanyakan ubat yang diha­sil­kan bagaimanapun merupakan pengubahsuaian kepada an­tibiotik sedia ada dan untuk penyelesaian jangka pendek.

“Syarikat farmasi dan penyelidik perlu segera fokus kepada antibiotik baharu yang mampu melawan sesetengah bakteria ber­bahaya, yang mampu membunuh pesakit dalam tempoh beberapa hari.” ujar Pengarah Ja­batan Ke­perluan Ubat WHO, Dr. Suzanne Hill.

Awal bulan ini, kerajaan Bri­tain menyertai Jerman, Luxembourg, Belanda, Afrika Selatan, Switzerland dalam usaha me­ngumpul dana sebanyak 56 juta euro (RM281 juta) untuk Global Antibiotic Research and Deve­lopment Partnership.

Sumber: Utusan Online