KUALA LUMPUR - Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri menerbitkan video 'Duri dan Api' khusus untuk menyuntik semangat atlet negara yang bertanding dalam Sukan Para Asean Ke-9, bermula hari ini hingga 23 September depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata penerbitan video itu sebagai proses merakyatkan EPU.
Katanya, video itu diilhamkan daripada puisi dengan judul yang sama oleh Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang, yang telah ditulis sekitar tahun 1960-an.
"Puisi tersebut sebuah puisi perjuangan. Penyair menulis bahawa 'di depan duri di belakang api' yang membawa maksud jika hanya berdiam diri tanpa berjuang, ibaratnya kita hanya menunggu kekalahan.
"Atas semangat disuntik puisi itu, EPU merasakan bahawa inti pati yang sama mampu melonjak semangat atlet negara yang bertanding dalam Sukan Para Asean Ke-9, semoga mereka dapat berjuang dengan penuh semangat untuk membawa kemenangan buat Negaraku Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata video 'Duri Dan Api' yang dihasilkan itu hanyalah titik permulaan.
"EPU akan menerbitkan lebih banyak video seperti ini pada masa hadapan. Video ini yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyarankan supaya EPU menghasilkan video seperti ini," katanya.
Sumber:BH Online