PASIR SALAK - Banjir yang melanda kawasan di sekitar Kampung Gajah di sini pada 2014 telah memusnahkan pelbagai jenis tanaman termasuk pokok durian.
Dalam kejadian itu, pokok yang terkenal dengan gelaran raja buah itu termasuk yang sudah lama menghasilkan buah menjadi rosak dan mati akibat terlalu lama terendam dalam air.
Selepas hampir tiga tahun, pokok durian di kawasan berkenaan seakan-akan ‘merajuk’ apabila tidak lagi menghasilkan buah dan jika ada yang berbuah pun, ia tidaklah lebat seperti sebelumnya.
Perkara itu diakui oleh pemilik-pemilik kebun durian di sekitar Kampung Gajah berikutan penghasilan buah durian tahun ini tidak lagi selebat seperti sebelum banjir.
Ahmad Nawawi Abdullah, 52, berkata, banjir itu yang berlaku tiga tahun lalu mengakibatkan hampir kesemua pokok durian yang ditanamnya mati, rosak atau tidak berbuah.
Katanya, bencana alam itu turut merosakkan semua tanaman lain seperti langsat dan asam gelugur.
“Kebun durian saya seluas hampir lima hektar di Kampung Pasir Putih kini hanya tinggal hanya beberapa pokok sahaja yang hidup, itu pun tidak berbuah,” katanya.
Menurut Ahmad Nawawi, kekurangan buah durian menyebabkan harganya menjadi begitu mahal, malah ada peniaga yang terpaksa menjualnya pada harga RM80 sekilogram.
“Dahulu saya jual durian antara RM5 dan RM1.50 sebiji namun kali ini berbeza apabila ia dijual pada harga RM25 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada gred buah dan juga amat sukar untuk tawar-menawar,” katanya.
Sementara itu, peraih durian, Khairudin Abdul Wazid, 40, berkata, Kampung Pasir Putih dekat sini sememangnya lokasi tumpuan ramai pembeli dan penjual setiap kali musim durian tiba.
Menurutnya, sebelum ini berlaku lambakan buah durian dengan anggaran lapan tan metrik durian dihasilkan di kawasan tersebut.
“Namun suasana itu tidak lagi dirasakan apabila pokok durian yang diwarisi sejak turun-temurun kini rosak dan tidak lagi berbuah,” jelasnya.
Dalam pada itu, pekebun durian, Osman Salleh, 67, pokok-pokok durian di dusun seluas tujuh hektar miliknya kini tidak lagi berbunga dengan sempurna.
Sumber: Utusan Online