Empat CCTV, Wang Dua Tabung Masjid Dikebas Di Kuala Ketil


KUALA KETIL - Masjid Kampung Padang Kulim diletakkan dalam keadaaan berjaga-jaga susulan kecurian empat kamera litar tertutup (CCTV) dan sejumlah wang tunai dari dua tabungnya, Sabtu lalu.

Imam, Ahmad Jusoh berkata, seluruh ahli Jawatankuasa kini lebih kerap membuat pemantauan di masjid tersebut.

Menurutnya, rakaman menunjukkan dua pencuri mencungkil pintu masuk dan mencuri duit dalam tabung, termasuk empat CCTV.

"Memang kami risau pencuri masuk lagi, dalam ini ada lagi alatan CCTV, kipas dan peralatan lain. Dunia la ni kipas pun depa jual dan ada orang beli," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, kes kecurian minggu lalu adalah kali kedua dalam tahun ini dan beliau bimbang ia berulang kerana dua pencuri terbabit masih bebas.

"Jika campur dengan kes-kes lama dah lebih kurang lapan kali masjid ni dipecah masuk. Tapi kes terbaru ni pencuri masih lagi bebas.

"Dalam rakaman tu kita kenal siapa yang buat. Kita pun dah lapor pada pihak polis. Harap-harap polis cepat sedikit ambil tindakan," katanya.

Menurutnya, kes curi di kampung itu juga pernah berlaku sebelum ini melibatkan kehilangan tiga ekor lembu dan sebuah motosikal.

"Beberapa bulan lalu hilang tiga ekor lembu dan sebuah motosikal. Tempat lain pun banyak berlaku kes curi. Apa yang berlaku hari ni bersangkut paut dengan dadah," katanya.

Difahamkan, polis sudah menerima laporan berhubung kes berkenaan pada malam hari kejadian.

Sumber: Sinar Online