POKOK SENA - Penduduk dari Kampung Lapangan Terbang, Kampung Seri Pasir dan belakang pekan Bukit Pinang mulai pulang sejak pagi semalam selepas air dari sungai Padang Terap mulai surut sejak kelmarin.
Azman Che Ani 49, berkata dia dan keluarganya merasa lega selepas air yang memasuki rumahnya sejak beberapa hari lalu sudah semakin surut dan mengambil kesempatan itu untuk membersihkannya.
Katanya, semenjak Jumaat lalu, air Sungai Padang Terap itu masuk ke rumahnya menyebabkan didalam rumahnya berbau busuk dan kawasan dinaiki air pula meninggalkan bekas lumpur di lantai serta dinding rumahnya itu.
“Saya mengambil kesempatan itu untuk membersihkannya secepat mungkin kerana jika simpan lama akan sukar untuk membersihkannya kerana lumpur itu akan melekat.
“Air mula surut pada petang semalam dan saya sekeluarga memeriksa terlebih dahulu di sekeliling dalam rumah bimbang jika ada binatang berbisa turut masuk ke dalam rumah kami.
“Selepas itu barulah kami mula mencuci seluruh ruang tamu dan dapur serta membasuh perabut yang tidak sempat membawa naik ke atas rumah. Saya berharap banjir ini adalah kali terakhir pada tahun ini dan tidak akan berulang lagi ,” katanya.
Sementara itu, Sekreteriat Pengurusan Bencana Pokok Sena Leftenan (PA) Roshidi Kassim berkata, kini hanya terdapat dua dari enam pusat pemindahan banjir di Pokok Sena masih dibuka.
Katanya, sehingga hari ini hanya pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau masih lagi dibuka dengan mangsa seramai 64 orang dan Dewan Orang Ramai Lubuk Keiang seramai 32 orang.
Manakala empat pusat pemindahan di Madrasah Maahad Tarbiah, Surau Kampung Menerong, Dewan Orang Ramai Kampung Permatang Limau dan Dewan Kampung Orang Empa kini sudah ditutup.
Sumber: Sinar Harian