Enam Wanita Malaysia Misi Tawan Gunung Elbrus Selamat


KUALA LUMPUR - Enam pendaki wanita dari Misi Srikandi Prihatin dalam menawan Gunung Elbrus sejak 25 Ogos lalu selamat dan tidak terjejas dengan insiden banjir lumpur pada awal Jumaat, ujar petugas pemantau misi berkenaan.

Difahamkan mereka masih berada di Pergunungan Elbrus bagi meneruskan misi itu yang membabitkan percubaan kedua.

Pada percubaan pertama peserta pendakian terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk.

Mereka ialah Ren'ee Aziz Ahmad, 56 tahun;  turut bersamanya adalah Nurul Huda Shamsuddin, 31; Nir Azmin Adnan, 34; Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35; Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30; dan Fazilah Abd Manan, 41.

Hari ini portal media luar negara melaporkan 300 pelancong termasuk 100 dari luar negara terperangkap di kawasan Pergunungan Elbrus sekitar Kabardino-Republik Balkar.

Ia berikutan kejadian banjir lumpur susulan hujan serta ribut pada jam 11 pagi waktu tempatan.

Sumber: Astro Awani