FAM Bakal Anjur Liga Bola Sepak Pantai


SHAH ALAM - Bagi membangunkan semula sukan bola sepak pantai, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mewujudkan liga bola sepak pantai tempatan membabitkan persaingan pasukan negeri dan kelab di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM, Datuk Rosmadi Ismail, berkata pihaknya kini dalam proses terakhir menyiapkan 'blueprint' baru mengenai pembangunan bola sepak pantai di negara ini.

Naib Presiden FAM itu berkata, menerusi pelan transformasi yang sedang dirangka itu, suatu nafas baru akan disuntik bagi menjadikan Malaysia antara kuasa besar dalam sukan itu.

"Kita sudah pun membuat perancangan dan dalam masa terdekat ini kita akan mengeluarkan 'blueprint' baru khusus untuk bola sepak pantai.

"Kita sedar bola sepak pantai tidak berapa popular di Malaysia berbanding bola padang dan futsal, tetapi saya dan Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) berhajat untuk menaikkan sukan ini.

"Selepas ini, mungkin akan adanya lebih banyak kejohanan-kejohanan baru termasuk penganjuran liga.

"Namun kita akan lihat dulu berapa banyak pasukan yang mahu sertai dan jika cukup kita boleh anjurkan satu liga," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman senarai nama 10 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia di Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa Busan Ke-2 di Pantai Songdo, Busan, Korea Selatan pada Sabtu dan Ahad ini.

Sepuluh pemain yang terpilih ialah penjaga gol Nazri Sulaiman, Zaharim Yusof, Riduwan Nor, Mohammad Fakhrullah Mohamad, Mohammad Fakhruddin Mohammad, Qushairi Assari, Ajasni Parman, Ridhwan Zainal, Shafiq Riza Huzair dan Aminullah Abd Razab.

Skuad kendalian Mohd Saiful Md Noor ini, diundi dalam Kumpulan D bersama Busan Transportation Corporation dan Songdo Baby FS pada kejohanan jemputan disertai 18 pasukan yang dibahagikan kepada enam kumpulan itu.

"Walaupun kejohanan di Busan sekadar kejohanan jemputan, saya harap mereka akan lakukan terbaik dan kutip seberapa banyak pengalaman di sana," katanya.

Selain enam pasukan luar iaitu Malaysia, PTU (Thailand), Awesome Club (China), BSC (Jepun), Manila All-Star (Filipina) dan Vietnam FC (Vietnam), baki 12 pasukan lain adalah kelab-kelab tempatan Korea Selatan.

Bagi aksi peringkat kumpulan Sabtu ini, Malaysia akan bertemu Busan Transportation Corporation pada sebelah pagi diikuti aksi bertemu Songdo Baby FS di sebelah petang.

Enam juara kumpulan bersama dua pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan mara ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada pagi Ahad, diikuti aksi separuh akhir dan final.

Sumber: BH online