Kecemerlangan skuad muda bola sepak negara pada beberapa kejohanan serantau membuktikan pembaharuan yang dibawa kepimpinan baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berada di landasan tepat.
Bermula kejayaan skuad bawah 22 tahun negara (B-22) layak ke Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia di China Januari depan dan mara ke final Sukan SEA bulan lalu serta kejayaan pasukan B-18 layak ke final Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) nyata membanggakan badan induk itu.
Walaupun pencapaian itu cukup memberangsangkan ketika ini, namun Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi mengganggap ia sebagai satu cabaran besar buat mereka untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat selepas ini.
“Sudah tentu kejayaan pasukan muda iaitu skuad B-22 dan B-18 menggegar kejohanan serantau menggembirakan FAM selaku badan yang bertanggungjawab ke atas skuad negara.
“Malah, ia selari dengan misi dan visi Tunku Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang mahu membentuk skuad jangka panjang dengan menitikberatkan soal pembangunan.
“Bagaimanapun, ini cabaran besar kepada semua kepimpinan FAM untuk terus mengekalkan rekod baik ini. Kalau tidak orang akan pandang rendah kepada FAM.
“Kami sudah berada di landasan betul dan sekarang semua pihak terutamanya di FAM kena kerja lebih keras lagi bagi memastikan bola sepak negara konsisten untuk tempoh lama,” katanya semalam.
Sumber: MyMetro