SELEBRITI dan fesyen sememangnya tidak dapat dipisahkan. Golongan ini juga sering menjadi idola orang ramai dalam berfesyen.
Jika sebelum ini, fesyen tudung Yuna telah disamakan dengan sister Kristian, kini nama Datin Alyah pula menjadi bualan hangat di bibir pengguna laman Instagram apabila dia memuat naik satu gambar yang mencetuskan isu besar kepada netizen.
Penampilan Alyah sememangnya tidak pernah mengecewakan, namun kali ini dia tampil dengan blouse berwarna hitam putih dan menggayakan skaf hitam yang diikat ke belakang leher.
Fesyen uniknya ini telah membuatkan ada segelintir netizen menyamakannya dengan rahib serta hantu Valak di dalam filem The Conjuring 2.
Bagi anda pula bagaimana? Sama atau tidak?
Busana itu telah direka khas oleh pereka fesyen Syafieq Ayman dan Erieyzulkifli. Alyah sememangnya tertarik dengan busana yang unik ini kerana warnanya sesuai dengan tema majlis yang dihadirinya di ibu kota minggu lalu.
“Kebetulan warna pakaian yang saya pilih untuk acara berwarna hitam dan putih bagi menepati tema formal yang diberi,” jelasnya lagi ketika dihubungi oleh sebuah portal online.
Namun, setelah asyik dikecam oleh netizen, akhirnya Alyah telah tampil dengan posting terbaharunya dan menjelaskan mengenai isu busana hitam putih yang digayakan.
Alyah menegaskan bahawa dia tidak kisah jika ada yang ingin menyamakan pakaiannya dengan rahib atau sister sekali pun. Malah, dia mengatakan bahawa apa yang dipakainya itu pasti tidak akan sama dengan sesiapa pun.
Tambah isteri kepada Datuk Ramli MS ini, tujuannya menggayakan skaf itu secara santai ialah untuk memudahkan dirinya ketika berada dalam majlis tersebut.
“Saya sukar untuk menyanyi apabila bahagian hadapan leher saya terhalang, jadi saya memutuskan untuk mengikat skaf itu ke belakang leher seperti gaya makcik jual goreng pisang,” tambahnya lagi.
Isu fesyen ini memang takkan pernah habis jika ianya melibatkan selebriti tempatan. Maklumlah, sebagai public figure, mereka ini pasti akan mendapat perhatian umum.
Mungkin selepas ini Datin Alyah perlu berhati-hati dalam berfesyen. Bukan apa, takut mata orang yang melihat tak sama seperti mata kita yang memakai. Betul tak?
Sumber: Mynewshub