Gagal Bayar Hutang RM707,351.83, Hana Elite Saman Watie Elite


KUALA LUMPUR- Akibat gagal membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 seperti diperintahkan Mahkamah Sesyen Selayang, dua tahun lalu bekas anggota kumpulan Elite, Hana memfailkan saman terhadap rakan kumpulannya, Watie Sadali di mahkamah sama, semalam.

Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan, 39, yang menang dalam kes saman pada 10 Mac 2015 terhadap rakannya, Norwati Sadali, 41, memfailkan saman penghutang penghakiman itu pada 18 Mei lalu, selepas Watie masih gagal menjelaskan hutang berkenaan sehingga kini.

Prosiding dijalankan di dalam kamar Hakim Rasyihah Ghazali.

Dalam permohonan itu, Hana memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap sekiranya Watie selaku penghutang gagal hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung kegagalannya membayar hutang berjumlah RM707,351.83.


Watie yang ditemani suaminya, Zulkifli Daud atau Joey ketika ditemui di luar mahkamah, berkata beliau tidak membayar jumlah yang dituntut Hana disebabkan tidak berkemampuan.

Hana bagaimanapun tidak hadir dan hanya diwakili peguam Tengku Nadiatul Hanim Tengku Mohamad Nasser.

Mahkamah menetapkan 11 Oktober ini untuk pendengaran semula kes saman penghutang penghakiman.

Sebelum ini, Hana memenangi saman terhadap Watie berhubung kegagalan penyanyi itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya bagi membeli kenderaan jenis Toyota Wish.

Dalam penyata tuntutan itu, Hana membuat pinjaman bank bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 untuk membeli kenderaan itu tetapi pelakon itu gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010.

Pada 1 April 2013, Hana diisytiharkan muflis dan perkara itu mendatangkan malu kepadanya malah memberikan kesan negatif dalam kerjaya.

Sumber: BH Online