Gangguan Bekalan Air Di Enam Kawasan Di Perlis


PADANG BESAR - Pengguna air di enam kawasan di negeri ini menghadapi gangguan bekalan air ekoran rumah pam air mentah di loji air Empangan Timah Tasoh, Beseri dekat sini ditenggelami air.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Syarikat Air Perlis (SAP), gangguan tersebut bermula jam 5 petang kelmarin dan dijangka pulih selepas air mulai surut di rumah pam air mentah terbabit.

Kawasan yang terlibat dengan gangguan berkenaan ialah seluruh kawasan Beseri, Titi Tinggi, Padang Besar, Kaki Bukit, Bintong, Kangar serta kawasan sekitarnya.

"Bekalan air akan beransur pulih secara berperingkat-peringkat selepas air Timah Tasoh beroperasi semula," kata kenyataan itu. - Bernama