Geng Wang Tod Sekitar Gopeng Tumpas


USIANYA baru 17 tahun namun remaja lelaki itu sudah berani menubuhkan kumpulan jenayah dikenali Geng Wan Tod dan melakukan kegiatan pecah kedai telefon bimbit sekitar Gopeng, sejak Ogos lalu.

Kumpulan yang dianggotai tujuh remaja berusia 14 hingga 19 tahun termasuk seorang remaja perempuan dan seorang lelaki berusia 22 tahun itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila mereka dicekup polis.

Kesemua suspek termasuk ketua kumpulan itu ditahan polis di rumah masing-masing di sekitar Kampar pada 5 dan 6 September lalu hasil risikan dan maklumat diperoleh melalui orang awam dan kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kumpulan yang baru ditubuhkan Ogos lalu itu dipercayai sudah melakukan dua kegiatan pecah kedai telefon bimbit di sekitar Gopeng membabitkan kerugian RM11,000.

Menurutnya, kumpulan itu juga dipercayai turut melakukan tiga lagi cubaan memecah kedai telefon di sekitar kawasan sama.

Katanya, modus operandi digunakan kumpulan itu ialah memecah pintu kedai menggunakan pemotong besi dan mengambil telefon bimbit serta aksesori sebelum melarikan diri menaiki motosikal serta kereta.

"Kegiatan dilakukan kumpulan ini ialah pada awal pagi, kira-kira 2 hingga 3 pagi.

“Tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua lagi masih bersekolah.

"Polis berjaya merampas tujuh telefon bimbit pelbagai jenis dipercayai hasil kegiatan itu, aksesori telefon, pemotong besi, pakaian dan kenderaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.

Kong Soon berkata, kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis menyelesaikan dua kes pecah kedai telefon bimbit dan tiga cubaan pecah kedai dengan tertangkapnya kelapan-lapan suspek.

Sumber: MyMetro