Gerakan Tempelak DAP Pulau Pinang Enggan Dedah Maklumat Kenaikan Tarif Air


GEORGE TOWN - Parti Gerakan negeri menempelak Kerajaan DAP Pulau Pinang yang didakwa gagal melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) apabila enggan mendedahkan maklumat berhubung kemungkinan menaikkan tarif air di negeri itu.

Naib Ketua Pemuda, Khaw Poh Chung, berkata pihaknya dimaklumkan kerajaan negeri akan melaksanakan kenaikan tarif air hingga 77 peratus bagi isi rumah dan 58 peratus bagi sektor perniagaan, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, katanya, Gerakan negeri mengemukakan permohonan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah FOI pada 11 Ogos lalu, untuk melihat surat permohonan yang didakwa sudah pun dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Bagaimanapun, saya amat kecewa apabila permohonan saya untuk melihat dokumen itu ditolak pada 30 Ogos lalu, kerana surat itu diklasifikasikan sebagai sulit dan persendirian.

"Bagi saya, ini adalah pengesahan bahawa Enakmen FOI yang selalu dibanggakan kerajaan negeri adalah satu penipuan kerana sepucuk surat ringkas yang membabitkan kehidupan rakyat Pulau Pinang pun tidak boleh didedahkan," katanya pada sidang media di sini, semalam

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum ini pernah menaikkan kadar air pada 2010, 2013, 2015 dan menaikkan caj air mentah negeri pada 2016.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng, mendedahkan kerajaan negeri mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan pada Disember tahun lalu, untuk menaikkan kadar tarif air hingga 77 peratus bagi kegunaan domestik dan 58 peratus kepada pemilik perniagaan, yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri dilaporkan menyerahkan surat susulan pada Februari lalu, bagi menarik balik kenaikan kadar air berkenaan, berkemungkinan atas faktor politik.

Mengulas lanjut, Poh Chung berkata, Gerakan negeri sebelum ini sudah beberapa kali membuat permohonan untuk mendapatkan maklumat daripada kerajaan DAP Pulau Pinang, namun semuanya ditolak.

"Oleh itu saya menyeru kerajaan negeri untuk mengemukakan garis panduan atau kaedah yang sebenar supaya kita tahu jenis maklumat yang boleh diperoleh orang ramai," katanya.

Sumber: BH