Guan Eng "Tak Tahu" Pusat Sedia RM2 Bilion Untuk Kawal Banjir Di P. Pinang?


'PENYAKIT tidak tahu' dan 'tidak diberitahu" yang 'dialami' oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa memberi keterangan mengenai siasatan kerugian RM32 bilion tukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) tahun 1990an kini 'berjangkit' pula kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. 

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu mendakwa beliau juga 'tidak tahu' mengenai projek tebatan banjir yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang dan minta ia dibuktikan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata adalah amat  'memalukan' apabila Ketua Menteri  dan Exco Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow tidak tahu mengenai projek itu sedangkan semuanya dalam pengetahuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebuah agensi di bawah kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

Menurut Zainal, tindakan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mempersoalkan peruntukan RM2 bilion daripada kerajaan Persekutuan untuk Projek-Projek Tebatan Banjir di negeri ini adalah berniat jahat dan bertujuan mengelirukan pemikiran rakyat.

Katanya, tanpa peruntukan tersebut tentunya banjir di Pulau Pinang akan lebih teruk lagi terutamanya di sekitar kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah dilaksanakan.

"Orang luar Pulau Pinang seperti ketua menteri tidak akan faham dan tahu tentang perkara sebegini. Saya minta Guan Eng dan Exco Tebatan Banjir semak semula dengan JPS Pulau Pinang sebelum melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas,"katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menegaskan kenyataannya mengenai kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2 bilion untuk projek kawalan banjir di Pulau Pinang adalah benar, bukan fitnah atau palsu.

Zainal yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata demikian selepas, Guan Eng  mencabarnya untuk membuktikan kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2 bilion untuk projek kawalan banjir di Pulau Pinang.

Kata Zainal sejumlah 10 projek RTB telah siap dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1.49 bilion dan antara projek yang telah siap dilaksanakan ialah di Bertam Kepala Batas,  Bandar Pulau Pinang,  Sungai Junjung dan Sungai Perai di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Selain itu, sebanyak 11 projek telah dilaksanakan yang melibatkan peruntukan RM404.5 juta bagi RMK10 manakala baru-baru ini, kerajaan  Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM150 juta bagi pelaksanaan projek RTB Sungai Pinang dalam RMK11,"katanya.

Beliau berkata dakwaan ketua menteri kononnya peruntukan RM1.7 billion dan dakwaan Exco Tebatan Banjir kononnya RM1.1 bilion masih belum dijelaskan oleh kerajaan Persekutuan adalah satu kenyataan yang mengarut dan tidak cerdik.

"Ia menggambarkan ketua menteri dan Exconya tidak tahu menahu tentang apa yang sebenarnya berlaku di negeri yang mereka tadbir,"katanya.

Kenyataan Zainal itu diperkukuhkan apabila Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyangkal dakwaan mengatakan kerajaan pusat tidak memainkan peranan membantu menangani banjir di Pulau Pinang.

Sejak 2006 kata Wan Junaidi, kerajaan telah melaburkan sejumlah RM2.5 bilion ringgit untuk pelbagai projek, termasuk 29 projek besar untuk mitigasi banjir di negeri tersebut.

“Saya ada senarai penuh semua projek mitigasi di Pulau Pinang,” tegasnya.

“Malah ada beberapa lagi projek sampingan yang akan datang dilaksanakan menjadikan jumlah keseluruhan nilai projek RM2.8 bilion.”

Hujan lebat pada 15 September lepas telah mengakibatkan hampir 100 kawasan di sekitar Pulau Pinang dilanda banjir kilat dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang.

Guan Eng tidak dapat menerima hakikat bahawa penggondolan bukit dan alam sekitar menjadi punca berlakunya banjir teruk di negeri tadbiran beliau, sebaliknya memberi alasan musibah itu terjadi berikutan kekerapan taburan hujan yang lebat.

Semalam PAS negeri itu turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar suruhanjaya itu menyiasat kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung isu kekerapan banjir di negeri berkenaan. - Kedahnews.com