GURU sekolah menengah ditahan polis kerana disyaki merogol pelajarnya di Siburan.
Suspek berusia 51 tahun itu ditahan di rumahnya di Tapah dekat Siburan, kira-kira 7 malam semalam.
Dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata perbuatan suspek terbongkar selepas remaja perempuan berusia 14 tahun menceritakan kejadian kepada seorang lagi gurunya.
Menurutnya, terkejut dengan pengakuan itu, guru terbabit kemudiannya memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa.
"Ibu mangsa yang berusia 44 tahun kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Siburan, pada kira-kira 5 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa sudah dua kali dirogol oleh suspek di dalam kereta di Siburan antara bulan lalu dan baru-baru ini," katanya di Kuching, hari ini.
Dev berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching di Petra Jaya, hari ini, untuk mendapatkan perintah reman.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan siasatan lanjut masih giat dijalankan polis.
Sumber: Metro