Guru Antara Ditahan Terlibat Kumpulan Pengganas


SHAH ALAM - Seorang guru warga Bangladesh di sebuah maahad tahfiz di Gombak antara 19 yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM)ekoran disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas di beberapa lokasi seluruh negara antara 4 Julai hingga 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, menerusi tangkapan tersebut, lapan orang suspek yang ditahan merupakan warganegara Malaysia manakala baki 11 lagi adalah warga asing.

“Kesemua suspek ditahan menerusi operasi khas yang dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor dalam usaha untuk membendung anasir pengganas semasa penganjuran Sukan SEA ke 29 dan sambutan Hari Kebangsaan ke 60 baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tangkapan itu, Mohamad Fuzi berkata suspek pertama yang ditahan di Shah Alam pada 4 Julai lalu adalah merupakan seorang warga Bangladesh dan bekerja sebagai guru sementara di sebuah maahad tahfiz sekitar Gombak.

Beliau berkata, suspek yang dikehendaki oleh polis Bangladesh itu telah memasuki negara ini pada 4 September tahun lalu bagi menyambung pengajian di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Suspek berusia 25 tahun itu disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Jamatul Mujahideen Bangladesh, iaitu sebuah kumpulan pengganas Daesh,” katanya.

Antara individu ditahan kerana dipercayai terlibat kumpulan pengganas.

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata, seorang bekas guru berusia 63 tahun turut di tahan di Bachok, Kelantan dalam operasi yang dijalankan pada 11 Ogos lalu.

Menurut beliau, suspek berkenaan aktif dalam mempromosikan kumpulan pengganas Daesh melalui dua akaun Facebook miliknya.

“Pada 11 Ogos juga, kita telah menahan dua beradik warga Iraq yang bekerja sebagai juruteknik sekitar Gombak kerana disyaki bertindak sebagai komander kumpulan pengganas Daesh di Selatan Iraq,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi memaklumkan bahawa menerusi operasi yang dijalankan di Johor Bahru pada 7 dan 9 Ogos lalu, pihaknya turut berjaya menahan seramai tiga orang suspek dimana seorang daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

Ujarnya, suspek berusia sekitar 40 tahun itu ditahan kerana disyaki menyimpan enam naskah Majalah Dabiq serta beberapa artikel berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit miliknya.

“Manakala dua suspek lain adalah merupakan warganegara Maldives dan bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin.

“Mereka ditahan kerana disyaki menggunakan Malaysia dan Singapura sebagai transit sebelum berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh,” katanya.

Disamping itu, Mohamad Fuzi berkata, pada 15 dan 16 Ogos pula, dua individu merupakan warga Palestin dan Iraq telah ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, suspek warga Palestin tersebut disyaki merancang untuk menyertai kumpulan Daesh di Selantan Filipinan manakala seorang lagi suspek warga Iraq pula dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Albania yang turut mempunyai kaitan dengan Daesh.

Pada 25 Ogos lalu juga, Mohamad Fuzi berkata polis turut menahan dua warga Indonesia sekitar Petaling Jaya ekoran disyaki aktif merekrut anggota baru kumpulan Daesh.

“Mereka turut merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan terakhir dilakukan 30 Ogos lalu melalui satu operasi khas bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman di Cheras yang membawa kepada penahanan lapan individu dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG).

Beliau berkata, tangkapan tersebut melibatkan dua warga Filipina dan enam warganegara Malaysia berusia antara 20 hingga 52 tahun.

“Suspek utama berusia 25 tahun adalah anggota ASG yang menyusup ke Sandakan, Sabah sebelum ke Kuala Lumpur pada tahun 2015 lalu.

“Suspek pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina, menculik enam tebusan warga negara tersebut dan melakukan penyembelihan seorang tebusan beragama Kristian di Selatan Filipina pada 2010.

“Suspek juga penah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahmud Bin Ahmad, Mohd Najib Hussein dan Muhammad Juraimee Awang Ramlee (rakyat Malaysia yang menyertai ASG sejak 2014) di Kampung Tipo-Tipo, Basilan Selantan Filipina,” katanya.

Tambah beliau, maklumat turut mendedahkan bahawa suspek merancang untuk melancarkan serangan semasa upacara penutupan Sukan SEA ke 29 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke 60 di Dataran Merdeka.

Difahamkan, kesemua suspek yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Dengan Kegasanasa, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 (Akta 747).

Sumber: Sinar Harian