Kemelut perkahwinan penyanyi lagu kerohanian, Hafiz Hamidun, 33, nampaknya belum menemui jalan penyelesaian apabila kes pembubaran nikah dengan Siti Arifah Mohd. Amin, 30, ditangguhkan ke 9 November depan.
Penangguhan tersebut berikutan pihak Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis lalu yang mahu pihak Arifah atau Joy Revfa terlebih dahulu menyelesaikan perbicaraan kes pendaftaran nikah cerainya dengan bekas suami, Datuk Rayos Abd. Rahim.
Keputusan perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 19 September (hari ini) mungkin akan mengubah perjalanan kes Joy dengan Hafiz.
Saat keluar dari kamar mahkamah tempoh hari, wajah Hafiz kelihatan sedikit kelat dan tegang, namun masih mampu melemparkan senyuman apabila diajukan soalan oleh para wartawan.
Mampu kekal positif dengan situasi yang sedang dihadapinya, pelantun Zikir Terapi itu yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya meskipun ia tidak selari dengan niat asal.
Lawan
“Saya masih okey walaupun pada awalnya sangat berharap kes dapat diselesaikan pada hari ini. Namun, ada bagusnya pihak mahkamah menangguhkan kes kami supaya kedua-dua belah pihak melakukan persediaan lebih rapi.
“Cuma, saya mahu beri peringatan kepada Joy, jangan main-main dengan saya. Jangan cakap lain buat lain seperti yang berlaku pada 21 Ogos lalu apabila dia mungkir janji untuk membiarkan saya yang failkan tuntutan faraq (bubar perkahwinan),” tegas Hafiz ketika ditemui pada satu sidang akhbar selepas sesi sebutan kes selesai pada 14 September lalu.
Pada masa sama, Hafiz mengakui tidak berasa malu atau segan apabila kisah rumah tangganya dijaja media massa kerana yakin ia sedikit sebanyak boleh memberi ilmu berguna buat masyarakat.
Tambahnya, memandangkan semua orang sudah mengikuti perkembangan kes berkenaan sejak permulaan, maka biarlah ia diketahui sampai ke garisan terakhir.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menjalani perbicaraan secara tertutup kerana sejak awal lagi, semua benda sudah diberitahu kepada masyarakat.
“Lagipun bukan saya yang memilih untuk berlawan di mahkamah seperti ini. Jadi, marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik untuk membuktikan apa yang dipertahankan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Siti Arifah atau Joy Revfa pula kekal dengan pendiriannya bahawa pernikahan dia dan Hafiz pada 1 Mei lalu sah di sisi agama.
Kata pengusaha kosmetik jenama Merve itu lagi, dia tidak boleh mengulas lanjut tentang apa yang sedang berlaku sekarang kerana masih dibicarakan di mahkamah.
“Saya yakin bahawa pernikahan kami sah. Maaf kerana saya telah dinasihati oleh peguam untuk tidak memberikan komen lanjut bagi menghormati mahkamah.
“Doakan yang baik-baik untuk kes ini dan semoga ia akan menemui jalan penyelesaian yang adil untuk semua pihak,” katanya lagi.
Sumber: mStar