Hans Isaac Terima Kata Maaf Zizan Razak


TINDAKAN pelawak dan pelakon, Zizan Razak yang telah menyinggung perasaan sesetengah pihak ketika menjadi pengacara untuk Festival Filem Malaysia 29 (FFM29) malam kelmarin masih menjadi bualan hangat.

Bagaimanapun, Zizan telah membuat permohonan maaf kepada kedua-dua artis berkenaan dan juga institusi istana di atas keterlanjuran kata-kata sewaktu majlis.

Pelakon, Datuk Hans Isaac pula dikatakan telah menerima permohonan maaf tersebut dan berbincang secara baik dengan Zizan.

Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac turut mengambil keputusan untuk melupakan sahaja perkara yang terjadi pada malam Ahad lepas.

“Saya dan Zizan sudah berbincang dan dia minta maaf. Saya pun dah maafkan Zizan. Dah berbincang dengan dia.

“Sekarang ini kita pandang ke depan dengan kerja dan kehidupan. Terima kasih,” kata Hans memetik mStar Online.

Tambah Hans lagi, beliau berharap agar peminatnya dan Zizan dapat hormat menghormati antara satu sama lain serta tidak menggunakan sebarang kata yang kasar di laman sosial miliknya.

Dalam pada itu, Hans juga dilihat telah memuat naik satu video dalam akaun Instagram di mana memaparkan beliau membuat kenyataan bahawa telah memaafkan Zizan.

Sumber: Mynewshub