Henti Lempar Tuduhan Terhadap KFA


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) meminta penyokongnya agar berhenti melempar tuduhan kononnya persatuan itu tidak membuat kerja, setiap kali timbul sesuatu isu.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, tindakan penyokong yang sering menuduh KFA sebagai hanya tahu tidur, amat mengecewakan persatuan itu yang selama ini bertungkus lumus menaikkan semula kegemilangan pasukan Kedah.

"Kita mahu mengorak langkah dari satu tahap ke satu tahap namun pada masa sama kita memerlukan sokongan peminat dan bukan hanya kritikan apabila timbul sesuatu isu sedangkan mereka sendiri tidak tahu hal sebenar," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program "Negaraku Sehati Sejiwa-Negaraku Kami Pertahankan" di sini semalam, beliau berkata pasukan itu sentiasa berusaha hingga berjaya membawa balik beberapa piala berprestij.

Beliau mengulas kritikan peminat Kedah tentang kegagalan KFA mendapatkan kelulusan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam Liga Super 2018 dan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

Kenyataan media FAM baru-baru ini menyebut hanya tujuh daripada 12 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super musim ini telah lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada musim depan.

Pasukan berkenaan ialah Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor, Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang dan T-TEAM FC.

Aminudin berkata, keputusan FAM itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang muktamad malah KFA sendiri sudah membuat rayuan kepada Badan Rayuan sebelum 4 Sept lalu bagi menjelaskan kedudukam sebenar mengikut keperluan First Instance Body (FIB).

Malah kriteria kewangan yang tidak dipenuhi itupun katanya sebenarnya hanya membabitkan penyata kewangan akaun KFA yang tidak lengkap. - BERNAMA