Hentikan Khabar Angin Kematian Mahadzir Lokman


BERIKUTAN khabar angin mengenai kematian personaliti televisyen, Datuk Mahadzir Lokman, ahli keluarganya memohon kerjasama semua pihak untuk hentikan penularan berita tersebut.

Berkata kepada Utusan Online, adik Mahadzir, Ida Lokman mengesahkan bahawa abangnya masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Abang masih sedar, cuma beliau lambat beri maklum balas pada rawatan oleh doktor, mohon semua pihak henti sebarkan khabar angin kononnya beliau sudah meninggal dunia

"Janganlah sebar cerita yang bukan-bukan, berikan ruang kepada kami  (ahli keluarga) untuk bersama-sama melalui saat yang sukar ini," katanya.

Awal pagi semalam, Mahadzir dikejarkan ke hospital setelah ditemui tidak sedarkan diri oleh anggota keluarganya, beliau dikhabarkan berada dalam keadaan kritikal.

Tambah Ida lagi, kesemua ahli keluarganya mengharapkan agar orang ramai khususnya kenalan abangnya untuk mendoakan kesejahteraan kesihatan Mahadzir.

"Lebih baik kita sama-sama mendoakan abang yang kami kasihi dan sayangi ini," katanya lagi.

Sumber: Sinar Online