Hospital Sesak, Pesakit Diletakkan Di Atas Lantai


COX BAZAR - BANGLADESH. Seorang kanak-kanak Rohingya berusia 7 tahun terpaksa diletakkan di lantai sebuah hospital kerajaan yang penuh sesak di Bangladesh, dibaluti kain pada luka tembakan yang dilepaskan tentera Myanmar.

Dia adalah salah seorang daripada 80 pesakit Rohingya, kebanyakan lelaki yang mengalami luka tembakan dirawat di kemudahan perubatan di bandar yang dipenuhi lebih daripada 300,000 Muslim Rohingya yang telah melarikan diri sejak dua minggu lalu dari keganasan di negeri Rakhine Myanmar.

Dia adalah individu paling muda dari enam pesakit dengan luka tembakan yang ditemuramah oleh The Associated Press ketika ditemui baru-baru ini.

"Tentera melepaskan tembakan. Saya melihat anak saya terbaring di tanah," kata bapa kanak-kanak itu, Abu Tahir.

Dalam keadaan huru hara, mereka kehilangan jejak keluarga mereka sebelum Tahir membawa anaknya ke seberang sempadan untuk keselamatan.

Sekarang Tahir menjaga anaknya di hospital dan berdoa agar dia pulih.

Hospital Sadar merupakan kemudahan perubatan utama untuk kawasan Bazaar Cox dengan 20 doktor yang bertanggungjawab untuk rawatan ratusan pesakit.

Namun kini hampir dua kali ganda kapasitinya dan untuk kali pertama doktornya berdepan dengan pesakit yang mengalami pelbagai kecederaan seperti luka tembakan, luka tikaman pada skala besar dari pelarian Rohingya.

"Kami tidak pernah melihat kecederaan seumpama ini sebelum ini," kata Dr Shaheen Abdur Rahman Choudhury, ketua hospital Sadar.

Pada minggu pertama, doktor di Hospital Sadar merawat 30 pelarian Rohingya akibat luka tembakan manakala pada minggu kedua bilangannya meningkat kepada 50 orang.

Hospital kini menubuhkan kawasan berasingan untuk Rohingya dan menjangkakan lebih banyak lagi pada minggu dan bulan depan.

Dr Shaheen berkata, dia bimbang akan berlaku kecederaan yang teruk dan luka yang teruk apabila pelarian mengembara melalui sungai-sungai kotor dan berjalan di dalam keadaan panas lembap dan tidak akan memberi perhatian perubatan.

Menurutnya, hospital berkenaan memerlukan lebih banyak bantuan dan wang bagi berdepan situasi sekarang.

Keganasan dan pengusiran bermula pada 25 Ogos apabila pemberontak Rohingya menyerang polis Myanmar sebagai salah satu usaha melindungi etnik minoriti mereka yang dianiaya pasukan keselamata di negara majoriti Budhha.

Susulan serangan itu, tentera melancarkan 'operasi pembersihan' untuk menghampuskan pemberontak.

Sumber: Sinar Harian