IRAN hari ini, melaksanakan hukuman gantung sampai mati di khalayak ramai seorang yang didapati bersalah merogol dan membunuh budak perempuan berusia tujuh tahun.
Rakaman video amatur pelaksanaan hukuman gantung Esmail Jafarzadeh, 42, itu disiarkan di laman web agensi penyiar rasmi kerajaan.
Lelaki itu digantung di satu dataran bandar kecil, Parsabad, di wilayah Ardebil, utara Teheran.
Pendakwaraya wilayah Ardebil, Naser Atabati, berkata pelaksanaan hukuman di khalayak ramai itu bertujuan mengembalikan ketenangan dan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan.
Mangsa, Atena Aslani, 7, hilang pada 19 Jun lalu, ketika bersama bapanya yang berniaga di jalanan. Kes itu menimbulkan kemarahan rakyat Iran.
Menurut polis, Esmail mengaku merogol dan membunuh mangsa selepas mayat budak perempuan itu ditemui dalam garaj rumahnya.
Perbicaraan Esmail berlangsung hanya seminggu sebelum disabitkan dengan tuduhan dan Mahkamah Agung mengesahkan hukumannya pada 11 September lalu.
Pendakwaraya wilayah Parsabad kemudian mengumumkan Esmail turut mengaku membunuh seorang wanita dua tahun lalu, yang mayat mangsa tidak ditemui.
Iran tidak pernah menyatakan jumlah pesalah yang menjalani hukuman mati namun pertubuhan kemanusiaan, Amnesty International, menyatakan Iran antara lima negara di dunia paling banyak melaksanakan hukuman mati pada 2016, sebahagian besarnya membabitkan kes dadah.
Sumber: Metro