Hukuman Mati Paling Setimpal Untuk 7 Jahanam


KUALA LUMPUR - Saya berharap semua suspek itu diberi hukuman setimpal. Hukuman mati sebagai pengajaran kepada yang lain," kata ibu mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Khamis lalu.

Hermayani Normatias, 38, ibu kepada mangsa, Indrakurniawan Mohd Amirul, 11, antara tiga yang masih mendapat rawatan di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Beliau berkata, tanpa hukuman setimpal dibimbangi suspek akan mengulangi kesalahan sama atau lebih teruk.

"Saya dimaklumkan dua suspek mempunyai kes lampau tetapi dibebaskan. Sekarang dia terbabit dalam kejadian meragut nyawa 23 orang lain.Tiada jaminan untuk mereka berubah.

"Pihak berkuasa juga perlu menyiasat apa yang mempengaruhi kanak-kanak dan remaja berkenaan kerana perbuatan mereka seolah-olah dipengaruhi pengganas atau ekstremis.

"Jika ini dilakukan kumpulan ekstremis mungkin tidak mengejutkan tetapi ia dilakukan golongan kanak-kanak dan remaja," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut perkembangan anak sulung daripada tiga beradik itu, beliau berkata keadaan anaknya melecur di belakang sampai pinggul kira-kira 23 peratus, melecur di kedua-dua belah tangan, sebelah kakinya patah dan tidak sedarkan diri akibat ubat sedatif.

"Dia terjun keluar tingkap ketika kejadian itu dan diselamatkan jiran," katanya.

Katanya, dia belum pasti sama ada mahu anaknya meneruskan pengajian di situ atau sebaliknya.

Sumber: Berita Harian