ICQS Baharu Bukit Kayu Hitam Sudah Mula Beroperasi Semalam


KUBANG PASU - Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu di Bukit Kayu Hitam, dekat sini yang menelan belanja sebanyak RM425 juta, mula beroperasi semalam melibatkan kenderaan berat dari kedua-dua arah, Malaysia dan Thailand.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini hanya Kompleks Kenderaan Berat (KKB) yang dibuka melibatkan 60 peratus komponen pembangunan di fasa satu bangunan tersebut.

“Langkah untuk membuka KKB ini dibuat bagi menyuraikan kesesakan kenderaan berat yang berlaku di ICQS lama kerana KKB baharu mempunyai sebanyak dua kali ganda lorong pemeriksaan berbanding sebelumnya selain turut dilengkapi aplikasi penguatkusaan seperti mesin pengimbas kargo, jambatan timbang, bilik penyejukan, pusat kuarantin haiwan serta tanaman.

“Baki 40 peratus daripada pembangunan fasa satu merangkumi Kompleks Kenderaan Ringan (KKR), Pejabat Operasi dan Pentadbiran serta kemudahan awam dijangka dibuka sepenuhnya pada 1 November nanti melibatkan pemanjangan tempoh operasi serta pembukaan pintu sempadan daripada 18 jam kini kepada 20 jam.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Tertinggi (HLC) yang berkisar mengenai keselamatan ICQS baharu tersebut di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim serta Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sumber: Utusan Online