Info Menarik Asal Usul Nama Tokai #Kedah


ALOR SETAR - Nama Tokai bagaikan tidak asing bagi rakyat Kedah, khususnya yang berasal di sekitar Pendang, Alor Setar, Yan dan kawasan yang berdekatan dengannya. Dikatakan bahawa di sebalik nama unik "Tokai" itu, terdapat beberapa versi menceritakan tentang asal-usulnya.

Ada yang menyatakan bahawa "Tokai" itu membawa maksud "mencuba", sementara itu di dalam bahasa Melayu pula ianya membawa maksud "tugal" atau makna lainnya adalah menanam biji benih diatas tanah.

Pada tahun 1899, sebuah penulisan lama oleh WW Skeat dalam JMBRAS telah mengadakan satu ekspedisi dari Alor Setar ke Baling untuk mencari orang asli.

Dengan hanya menaiki gajah, mereka menyusuri beberapa tempat seperti Jalan anggar, belok ke Hj Titi Deris, terus ke Tanah Merah, melalui Pendang terus ke Padang Pusing sampai ke Kuala Jeneri dan akhirnya sampai di Baling dalam masa lima hari.

Dikawasan berdekatan Tanah Merah, beliau mencatat tentang nama yang dipanggil sebagai "Tok Kaya" kerana mempunyai banyak kerbau yang tidak terbilang jumlahnya.

Dahulunya tempat tinggal tersebut dikenali sebagai Kampung Tok Kaya dan selepas berbincang mereka bersetuju untuk mengubah nama kampung tersebut kepada "Tokai" kerana salah sebut.

Ejaan Tok Kaya dalam huruf jawi berbunyi Ta-wau Kaf-ya, ejaan ini yang dicatatkan dalam geran tanah milik penduduk tempatan tetapi ia telah disalah baca oleh anak muda yang menyebutnya sebagai Tokai.

Dah sehingga kini ianya dipanggil sebagai Tokai.

Selain itu, terdapat juga cerita yang mendakwa nama Tokai itu berasal dari perkataan "tauke", nama panggilan bagi peniaga-peniaga berbangsa Cina yang lazimnya menjadi kebiasaan penduduk di sekitar kawasan itu.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kesahihan cerita rakyat tersebut. - Kedahnews.com