Isteri Selamat Bersalin Seorang Puteri, Hafidz Roshdi Kini Bergelar Bapa


KUALA LUMPUR - Pelakon Hafidz Roshdi, 23, gembira bergelar bapa selepas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri melahirkan bayi perempuan jam 11.30 pagi Sabtu.

Hafidz berkata, bayi seberat 2.7 kilogram itu dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan di Klang.

"Alhamdulillah, kedua-dua ibu dan anak sihat. Saya sangat terharu dan tidak sangka sudah bergelar bapa pada usia masih muda.

"Saya terima anugerah ini sebagai rezeki dan tanggungjawab daripada Allah untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya kepada BH Online.


Ditanya mengenai nama anaknya, Hafidz berkata, buat sementara waktu dia belum bersedia untuk berkongsi tetapi berjanji akan mengumumkannya kelak.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 April tahun lalu selepas lima bulan bertunang.

Dalam perkembangan lain, Hafidz bakal muncul dengan drama terbitan Zeel Production, Kelip Kelip Kota London yang disiarkan menerusi portal Tonton, bulan depan. Ini diikuti siaran di slot Zehra TV3 pada akhir tahun ini.

Sumber: BH Online