KUALA LUMPUR - Pendirian Malaysia mengenai krisis Rohingya bukan satu tentangan terhadap Myanmar namun sebagai penyokong ke arah satu resolusi keamanan.
Pakar krisis kemanusiaaan Lilianne Fan berkata, sentimen antara Malaysia dan Myanmar telah menjadi cabaran utama bagi organisasi dan badan bukan kerajaan yang sedang menyalurkan bantuan di Rakhine.
"Saya berpendapat Malaysia bukan sengaja menimbulkan tentangan terhadap Myanmar. Malaysia menyatakan kebimbangan kerana melihat pelanggaran hak asasi manusia sedang berlaku di sana," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Jelasnya, Myanmar adalah anggota ASEAN dan sudah menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN, oleh itu ia menjadi kepentingan semua pihak untuk melindungi rakyat rantau itu.
"Antara cabaran agensi kemanusiaan di Rakhine adalah golongan Buddha yang melihat komuniti antarabangsa hanya sebagai mencampur tangan terhadap isu di Myanmar.
"Terdapat sentimen anti-NGO (bukan badan kerajaan) dan anti-PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) ketika ini terutamanya di Rakhine.
"Ia bercanggah dengan mandat komuniti antarabangsa untuk melindungi golongan yang memerlukan bantuan, dalam kes ini mereka adalah golongan Rohingya Muslim," katanya.
Katanya, baru-baru ini kerajaan Myanmar sudah bersetuju untuk menerima bantuan dari Pusat Kordinasi Bencana ASEAN yang beroperasi di Jakarta.
"Sebelum ini, ASEAN sudah memberi respon kepada Myanmar pada 2008, dan kali ini ada potensi untuk melakukannya sekali lagi di Rakhine.
"Tetapi kita perlu memahami mandat dan mekanisme yang akan dilaksanakan seperti akses ke kawasan konflik dan pengedaran saluran bantuan," katanya.
Lilianne yang juga Pengarah Antarabangsa dan Pengasas Bersama Yayasan Geutanyoë menekankan kepentingan pelaksanaan cadangan Suruhanjaya Penasihat Rakhine, diketuai oleh pengerusi, bekas ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan.
Menerusi laporan yang bertajuk “Towards a Peaceful, Fair and Prosperous Future for the People of Rakhine”, Annan memberi 88 cadangan yang menyentuh hal pembangunan ekonomi, akses kemanusian, kebebasan pergerakan dan undang-undang kewarganegaraan.
Sumber: Astro Awani