JDT, PKNP FC Hampir Pasti Ke Separuh Akhir Piala Malaysia


KUALA LUMPUR -Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan wakil Liga Perdana, PKNP FC mencerahkan peluang ke separuh akhir Piala Malaysia setelah mencatat kemenangan selesa pada aksi suku akhir pertama, malam Jumaat.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan JDT tidak mendapati masalah untuk mencatatkan kemenangan selesa 4-1 ke atas Melaka United.

JDT, yang mendahului 2-1 pada babak pertama menerusi jaringan Mohammed Ghaddar pada minit ketujuh dan 33, menambah dua lagi gol pada babak kedua menerusi Natxo Insa pada minit ke-68 dan Safiq Rahim pada minita ke-85.

Gol sagu hati Melaka United menerusi penyerang Marko Simic pada minit ke-45.

PKNP FC, yang membuat penampilan sulung pada kempen Piala Malaysia, pula melakarkan kejutan apabila membenam  pasukan Liga Super, Felda United 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi muncul wira pasukan pelawat kendalian Abu Bakar Fadzim apabila melakar jaringan hatrik pada minit ke-10,  ke-45 dan minit ke-67 sebelum Muhammad Hadin Azman mengurangkan defisit jaringan untuk Felda United pada minit ke-76.

Dalam pada itu, juara bertahan Piala Malaysia, Kedah sekadar membawa kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik setelah menang tipis 3-2 ke atas juara 33 kali, Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Tiga gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh Ken Ilso Larsen pada minit ketujuh dan minit ke-14 serta pemain sayap, Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-68.

Pemain import dari Sepanyol,  Rufino Segovia del Burgo meledak dua gol untuk Selangor pada minit ke-53 dan minit ke-71.

Satu lagi aksi suku akhir pertama antara Pahang dan Perak akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu.

Saingan suku akhir kedua Piala Malaysia akan berlangsung pada 23 dan 24 Sept ini. - Bernama