Jenazah Haji Samuri Selamat Dikebumikan


KAJANG -Jenazah pengasas Sate Kajang Hj Samuri, Datuk Samuri Juraimi yang meninggal dunia jam 12.05 pagi semalam selamat dikebumikan awal pagi Sabtu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ramal Dalam, di sini kira-kira jam 9.30 pagi.

Anak jati Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor itu meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Arwah meninggalkan seorang balu, Datin Hajjah Jani Mohamad Amir dan lima anak iaitu Norsham, Sofian, Nur Ilyana, Shafeq dan Nurul Aqilah.

Samuri adalah pengasas syarikat Sate Kajang Hj Samuri & Anak-Anak Enterprise Sdn Bhd sejak tahun 2000.

Syarikat yang mulanya beroperasi dengan menjual sate secara kecil-kecilan sejak tahun 1992, kini telah berkembang menjadi sebuah syarikat korporat yang boleh dikategorikan sebagai peneraju dalam bidang perniagaan sate secara komersial.

Kini Sate Kajang Hj Samuri mempunyai 20 buah rantaian cawangan yang beroperasi sekitar Kajang, Lembah Klang, Putrajaya dan beberapa cawangan di Negeri Sembilan.

Sate Kajang Hj Samuri juga merupakan pembekal sate utama kepada beberapa rangkaian hotel dan kafe terkemuka di Kuala Lumpur. 

Sumber: SinarHarian