Jumlah Mangsa Banjir Di Kedah Terus Meningkat 3,607 Orang


ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah dilaporkan terus meningkat kepada 3,607 orang yang membabitkan keseluruhan sebanyak 1,078 keluarga sehingga pagi ini walaupun tiada hujan lebat turun di sini sejak semalam.

Difahamkan, semua mangsa ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara di empat daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata sehingga jam 10 pagi tadi, lapan pusat pemindahan masih beroperasi di Kota Setar iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak; Surau Assyakirin; SK Alor Mengkudu; SK Bukit Pinang; Dewan Taman Sri Bagan; SK Seri Gunung dan Dewan Wawasan Kampung Kelompang.

Memetik laporan media, sebanyak lapan pusat pemindahan itu menempatkan keseluruhan 860 penduduk membabitkan 240 keluarga.

"Selain itu, tujuh pusat pemindahan masih dibuka di Kubang Pasu membabitkan SK Kodiang Lama; Dewan Kampung Lahar; SMK Mahawangsa; Dewan Tokong Cina; Dewan Kubur Siam; Dewan Manggol Malau dan Pertubuhan Peladang Kawasan Lubuk Batu dengan jumlah keseluruhan 1,581 penduduk membabitkan 536 keluarga.

"Di Pokok Sena, lima pusat pemindahan iaitu di SK Bukit Hijau; Madrasah Maahad Tarbiyah; Dewan Kampung Permatang Limau, Dewan Orang Ramai Kampung Empa dan Dewan Lubung Keriang dengan jumlah keseluruhan 692 penduduk membabitkan 157 keluarga.


"Bagi Pendang pula hanya sebuah pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang menempatkan 276 penduduk membabitkan 76 keluarga, " ujar beliau.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob hari ini turut meluangkan masa menyantuni mangsa banjir bertempat di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini.

Pusat Pemindahan bencana di Mukim Titi Gajah itu merupakan pusat terbesar di antara 26 pusat pemindahan banjir sementara yang dibuka untuk kemudahan rakyat Kedah yang terkesan akibat musibah berkenaan.

"Sekolah ini masih dibuka seperti biasa dan pelajar-pelajar yang terlibat banjir tetap hadir ke sekolah walaupun dengan pakaian biasa.

"Tahniah Pusat Kebajikan Masyarakat Dearah (PKMD) dan semua sukarelawan yang sentiasa membantu," kata Suraya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri.


Semalam, Suraya sempat meluangkan masa meninjau perkembangan banjir dan membantu meringankan sedikit bebanan mangsa yang terjejas di sekitar Kampung Lubok Batu di Kubur Panjang, Pendang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu difahamkan mengambil inisiatif turun padang hampir setiap hari meluangkan masa memantau keadaan mangsa banjir di Kedah bagi memastikan kebajikan mereka yang terlibat dititikberatkan. - Kedahnews.com