Jumlah Sebenar Keahlian PPBM Seluruh Negara Terbongkar?


ALOR SETAR - Sikap pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sebelum ini dilihat berdolak-dalik apabila ditanya media berhubung jumlah sebenar keahlian parti itu terbongkarnya juga akhirnya.

Bekas pengasas bersama parti itu, Anina Saaduddin, dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini mendedahkan bahawa jumlah keahlian terkini yang diterima beliau hanyalah sekitar 80 ribu hingga 90 ribu ahli sahaja.

"Jumlah keahlian tidak bertambah, tapi berterus-terusan menyingkir pemimpin itu, menyingkir pemimpin ini, cantas orang sana, cantas orang sini, catur sana, catur sini.

"Dari jumlah yang terbaru saya dapat adalah 80 ribu hingga 90 ribu orang sahaja jumlah ahli PPBM," katanya mendedahkan "rahsia" sebenar jumlah keahlian parti serpihan UMNO yang dikatakan "gah mendapat sambutan hangat" itu.


Anina sebelum itu turut mendedahkan perkembangan pengaruh keahlian PPBM yang dikatakan "stagnant" atau tidak berkembang sebagaimana yang dicanang selama ini.

Bekas pengasas PPBM itu baru-baru ini mengumumkan diri keluar parti selepas tidak tahan diperlakukan seperti "anjing dan keldai" dalam satu sidang media khas, sebelum Datuk Hamidah Osman mengikut jejak langkahnya hingga sanggup melepaskan jawatan Naib Presiden parti.

Para penyokong dan aktivis parti itu juga sebelum ini kecoh mewar-warkan di media sosial mendakwa jumlah keahlian parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu kononnya telah mencecah lebih sejuta ahli.

Walau bagaimanapun, pucuk pimpinan parti itu enggan mendedahkan jumlah sebenar keahlian PPBM kepada media dan dilihat sengaja menimbulkan teka-teki di kalangan rakyat di negara ini.

Difahamkan bahawa jumlah keahlian dua parti terbesar Melayu beragama Islam yang "diserang" bertubi-tubi dan cuba dijatuhkan PPBM iaitu UMNO dan PAS masing-masing kini telah mencecah kira-kira 3 juta ahli dan 1.3 juta ahli di seluruh negara.

Namun begitu, PPBM difahamkan yakin dapat merampas kuasa tampuk pentadbiran negara dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti dengan bantuan rakan sekutunya, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR. - Kedahnews.com