SEBUAH pusat penjagaan lepas bersalin di China, Puruming Postpartum Care Centre telah dikecam selepas video yang memaparkan kecuaian seorang jururawatnya hingga menyebabkan seorang bayi yang baru berusia beberapa hari jatuh ke lantai, telah tersebar menerusi media sosial.
Dalam kejadian itu, jururawat berkenaan sedang menolak bayi yang berusia 19 hari itu di dalam kereta sorong apabila ia kemudian tidak stabil lalu mengakibatkan bayi berkenaan jatuh dan kepalanya terkena lantai.
Jurucakap pusat berkenaan memberitahu media bahawa jururawat tersebut adalah seorang yang berpengalaman dan pernah menjadi timbalan pengarah di sebuah hospital selama 30 tahun.
Meskipun pemeriksaan doktor mendapati bayi itu tidak mengalami kecederaan terutama di bahagian kepala namun keluarganya bercadang mengambil tindakan undang-undang.
Saman berkenaan akan difailkan minggu depan. Mereka menyifatkan jururawat itu sebagai tidak bertanggungjawab dalam kejadian yang berlaku pada bulan Julai lalu.
“Jika visual dari CCTV itu tidak didedahkan, berapa lama mereka mahu menyembunyikannya dari orang ramai,’’ demikian marah keluarga bayi itu.
Namun jurucakap pusat itu mempertahankan jururawat tersebut.
“Lagipun manusia bukannya tuhan. Ada kalanya kemalangan berlaku,’’ kata jurucakap pusat terbabit.
Sumber: Mynewshub