Kaji Skim Gaji Pakar Di Sektor Kesihatan


BAGAN DATUK - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mengkaji semula skim gaji pakar-pakar dalam sektor kesihatan bagi mengelak mereka berhijrah ke luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak negara kehilangan tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.

“Walapun saya tahu ia nanti akan libatkan pelbagai sektor dalam JPA namun saya rasa sudah tiba masanya kita buat begitu (kaji skim gaji).

“Kita tak mahu kehilangan pakar-pakar ini kerana negara telah membelanjakan begitu banyak untuk perbelanjaan pendidikan lanjutan mereka sedangkan negara berkenaan (negara luar) tidak keluarkan apa-apa pun,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Sumber: Utusan Online