Kami Menang Keatas Kedah Bukan Kerana Nasib: Satianathan


ALOR SETAR - "Saya kena puji pemain kerana mereka beraksi dengan baik dan melakukan apa yang kita kehendaki," itu kata B Satianathan selepas FELDA United menewaskan Kedah 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Sebelum sepak mula, Ketua Jurulatih FELDA United ini mengakui moral pemainnya merosot selepas tewas kepada PKNP FC di suku akhir pertama Piala Malaysia dan bakal membuat perhitungan dengan Kedah di gelanggang keramat lawan.

"Kita berlatih dalam masa empat hari dan mencari kekuatan bagaimana kita nak lawan dengan Kedah selepas kita kalah dengan PKNP sebelum ini.

"Selepas kalah kepada PKNP, moral pemain merosot. Nak lawan Kedah bukan senang..tetapi mereka telah memberikan segala-galanya melalui persembahan yang lebih baik. Saya rasa tiga mata memang patut untuk kami.

"Kita bukan menang nasib, tetapi kita beraksi dengan corak permainan yang baik. Saya harap moral pemain akan meningkat selepas ini dan senario ini bagus untuk pemain menjelang pertembungan dengan PKNP nanti," kata Satianathan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan ini mengakui, Kedah memiliki kelompok pemain yang baik dan mengawal permainan, namun gagal mendapat rentak sebenar sedangkan pemain FELDA berjaya menyesuaikan diri dengan cepat untuk mendapat rentak permainan yang dikehendaki.

Namun baginya, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan segera menjelang aksi kedua suku akhir Piala Malaysia kerana FELDA perlu memburu tiga gol awal di tempat lawan.

"Kita perlu teruskan usaha kerana jika mereka (PKNP) mampu menjaringkan tiga gol (di tempat lawan), kenapa kita tidak mampu melakukan perkara sama. Terpulanglah kepada pemain," katanya.

Sementara itu, pemain FELDA United, Wan Zac Haikal meluahkan rasa teruja apabila menyumbangkan dua gol melalui tendangan bebas yang membantu pasukannya meraih kemenangan di laman lawan.

"Kemenangan ini menyuntik semangat untuk beraksi lebih baik menentang PKNP nanti dan saya bersyukur semua pemain beraksi dengan baik, mengikut arahan serta taktikal jurulatih.

"Semangat bermain dalam satu pasukan adalah penting untuk mencapai kemenangan. Jika bermain dengan satu hati, kita mampu tumpaskan mana-mana pasukan lain," katanya yang berazam untuk beraksi di pentas lebih tinggi dan bersedia untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.

Sumber: BH Online