Kantoi Suami Seorang Wanita Pada Malam Pertama


MAKASSAR- Kegembiraan seorang wanita yang baru berkahwin dengan kekasihnya berakhir pada malam pertama selepas dia mendapati suaminya itu sebenarnya wanita.

Kisah perkahwinan sama jenis di Dusun Erelebu di Bulukumba, Sulawesi Selatan itu tular di Internet selepas gambar pasangan berkenaan dimuat naik di Facebook baru-baru ini.

Seorang pengguna Facebook yang memuat naik gambar berkenaan memberitahu perkahwinan itu adalah antara pasangan sejenis.

Tribunnews.com melaporkan, wanita itu yang dikenali sebagai Syarifah Nurul Husna, 20, berkahwin dengan seorang lelaki dikenali sebagai Rahmat Yani pada 17 September lalu.

Bagaimanapun, selepas majlis perkahwinan itu, Syarifah terkejut selepas mendapati suaminya itu memiliki alat kelamin wanita.

Syarifah terus keluar dari bilik dan memberitahu keluarganya yang kemudian membawa Rahmat ke balai polis.

Ketika disoal siasat polis, Rahmat mengaku dia adalah wanita dan nama sebenarnya adalah Rahmayani.

Wanita itu juga mengaku dia menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Rahmat Yani untuk berkahwin dengan Syarifah.

Pasangan itu dilaporkan bercinta selama enam bulan sebelum Rahmayani bertemu keluarga Syarifah untuk meminang wanita itu.

Sementara itu, seorang ahli keluarga Syarifah, Maemuna memberitahu, wanita itu tidak menunjukkan ciri-ciri seorang perempuan dan dia juga bersuara lantang.

“Kami tidak tahu dia seorang perempuan dan terus menerima lamarannya.

“Dia juga menunjukkan kad pengenalannya yang jelas tertera jantinanya adalah lelaki,” katanya yang dipetik Tribunnews.com kelmarin.-Agensi